30 June 2011

Insurans

Aku pun sebenarnya tidakla berapa faham pasal insurans. Tapi aku ingin menulis serba sedikit mengenai pengalaman aku yang 'terkena' dengan insurans. Memang mungkin kesalahan aku ialah tidak semak polisi. Tapi sebenarnya sebab tidak fahamla maka kita tidak ambil pusing pasal apa yang terkandung di dalam polisi berkenaan. Dan kesalahan aku adalah kerana percaya sangat pada wakil bank tersebut (dia orang bukannya arif sangat dengan produk yang mereka jual). Target dia orang cuma pelanggan yang mana risiko kita tanggung.

Aku percaya tak ada seorang pun ibu bapa yang ambil insurans untuk anak ini sebenarnya untuk 'stand by' anak 'mati'. Tapi kerana ada wang lebih, aku dan suami ambil keputusan untuk mengambil insurans untuk melindungi anak2ku sekiranya berlaku apa2 yang tidak diingini kerana kita tidak tahu nasib kita. Oleh itu, kami memilih skim yang mempunyai tabungan pendidikan. Senang kalau2 esok dia orang nak sambung belajar tanpa bergantung pada pinjaman pelajaran.
Langkah awal kami adalah pergi ke sebuah bank yang megah dengan lambang harimaunya. Aku bukan cari ajen tepi jalan tapi masuk sendiri ke bank yang sudah dikenali ramai itu. Setelah menyampaikan hasrat aku untuk mengambil insurans untuk anak, maka aku dilayan oleh seorang pegawai. Setelah menerangkan serba sedikit kehendak aku, maka aku diperkenalkan dengan 'Takaful Alif". Dengan bayaran RM75.00 sebulan aku setuju dengan pelan yang diberi. Jadi pada hari itu 2 insurans telahku beli. Satu untuk Amer si abang dan satu untuk Yaya si kakak.

Pendek cerita selepas mengambil anak ketiga, aku telah memutuskan untuk mengambil insurans juga untuk Afiq. Sama seperti kakak dan abang. Takaful Alif dan RM75.00 sebulan. Tanpa ragu aku membayar perlindungan untuk kakak dan abang sejak 2007 dan untuk Afiq dari 2009. Dan segalanya musnah apabila kematian Afiq aku dimaklumkan bahawa insurans itu sebenarnya hanya melindungi aku sebagai pembayar dan bukannya anak2ku. Jadi aku dilindungi oleh 2 insurans yang sama dengan manfaat yang sama. Untuk Apa? Dan anak2ku tidak dilindungi apa2 melainkan jika terjadi apa2 padaku barulah mereka mendapat manfaat. Itupun setelah umur mereka mencapai 21 tahun. Walaupun sebenarnya ada 3 insurans di sini, satunya dibayar oleh suamiku.

Jadi kesimpulannya aku telah membatalkan kesemua polisi tersebut kerana merasakan aku telah ditipu. Oleh itu, pada mereka yang rasa nak ambil insurans, PASTIKAN POLISI ANDA DIBACA DAN DIFAHAMI setelah ia tiba ke tangan anda. Biasanya polisi tersebut akan sampai ke tangan anda sebulan setelah anda mohon dan membuat pembayaran. Tapi jangan bimbang, kalau kita tidak setuju dengan polisi tersebut, kita berhak menamatkannya dalam masa 15 hari dari tarikh polisi itu sampai ke tangan kita. Dan wang kita akan dipulangkan semula.

No comments: