21 June 2011

04 Februari 2011 / 01 Rabiulawal 1432H

Gambar ini diambil 5 hari sebelum pulangnya Afiq ke Rahmatullah.
Mukanya comot kerana bermain dengan krim muka.
Mungkin korang kat sini sebab nak baca punca kematian Afiqkan? Tapi sebelum itu akan aku ceritakan perihal hari kematiannya.

Ok seperti yang aku cerita sebelum ini, Doktor tak pernah mengatakan anak aku sakit kecuali asma yang kejap konon ada yang kejap takder plak. Sebelum tu aku nak sambung cerita bagaimana kes ini di rujuk ke Hospital Kajang 37 hari selepas x-ray dilakukan (senang faham hari disahkan kematian Afiq). Seperti yang aku cerita di Entri III yang mana selepas aku dapati Afiq 'lena' di ribaanku, aku terus membawanya ke klinik yang aku rujuk semalam. Sampai di situ doktor yang bertugas adalah sama ngan doktor semalam, Dr. Azah. Tapi apa yang mengecewakan aku ialah doktor tersebut keluar dengan lambatnya dari bilik belakang dan hanya pegang tangan anakku sekejap dan terus mengatakan yang kat situ takde oksigen. Dia suruh aku membawanya terus ke Hospital.

Tanpa bantuan awal dari doktor tersebut serta bantuan lain yang mungkin membantu... at least menelefon ambulans barangkali... aku dan suami bergegas ke Klinik Kesihatan yang berdekatan. Tapi oleh kerana hari tersebut merupakan Cuti Umum aku dah tak reti nak rujuk kecemasannya di mana. Kami terus pecut ke Hospital Kajang. Memang telah tertulis agaknya, jalan raya ketika itu agak sesak. Traffic light juga hanya mempamerkan lampu merah. Walaupun lampu kecemasan telah diberi namun kerjasama orang awam agak tidak membantu. Semuanya seakan mementingkan diri sendiri sekarang. Akibatnya sampai di hospital semuanya makin terlewat.

Namun begitu, doktor bertugas masih memberikan bantuan sewajarnya sehingga 1 jam. Sehingga aku sendiri seakan mahu menepis tangan2 petugas agar berhenti menekan dada Afiq. Tepat jam 11.00 pagi anakku disahkan meninggal dunia. Dunia mana yang tak terasa gelap dengan berita ini, namun aku gagahkan juga demi meredhakan pemergiannya. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi Afiq. Dia pergi ketika jiwanya masih suci. Pun begitu pemergian yang tiba2 ini telah menyebabkan kami dipaksa membenarkan  proses bedah siasat dilakukan kerana timbul keraguan sebab kematiannya bagi doktor. Dalam keterpaksaan kami benarkan juga ia dilakukan kerana jika tidak permit gali kubur tidak akan dikeluarkan. Dalam kes ini doktor seakan mengesyaki Afiq telah didera.

Sesungguhnya perjalanan untuk melakukan bedah siasat ini tidak mudah. Dan kebetulannya pelbagai prosuder telah gagal dipatuhi oleh pihak hospital. Akibatnya kami yang merana menunggu jenazah Afiq di Bilik Mayat selama 8 jam lebih. Alasannya Dr. Forensik tiada. Ya Allah seksanya ketika itu hanya tuhan yang tahu. Sepanjang tempoh itu aku gelisah menanti segala kemungkinan dan penyebab kematian. Dalam pukul 2.00 petang polis datang untuk membuat pemeriksaan. Kami merayu agar post mortem tidak dilakukan tapi katanya itu arahan hospital. Entahlah hospital kata polis, polis cakap hospital yang minta bedah siasat dilakukan.

Kira2 jam 4.30 petang barulah bedah siasat nak dilakukan. Malangnya doktor belum ada katanya jadi jenazah Afiq telah di bawa semula ke Wad Kecemasan kononnya untuk diimbas dan sekaligus memungkinkan bedah siasat tidak akan dilakukan. Hampir 2 jam menunggu hasil x-ray ada yang tidak dapat dibaca dan harus dibuat semula. Hancurnya hatiku hanya tuhan yang tahu. Ya Allah kasihanilah anakku. Hasil x-ray juga negatif. Dan prosuder bedah siasat juga terpaksa dijalankan. Dan sekali lagi jenazah Afiq diusung ke Bilik Mayat. Lepas maghrib barulah 'Afiq' dibenarkan pulang untuk prosuder seterusnya.

Sampai di rumah mertuaku ramai yang sudah menanti. Segala keperluan untuk memandikan jenazah anakku telah tersedia. Sahabat alongku serta pembantunya telah sedia untuk mandikan Afiq. Namun begitu mereka memberi penghormatan kepada aku dan suami untuk memandikan anak kami buat kali terakhir. Dengan bantuan dan tunjuk ajar mereka akhirnya Afiq berjaya dimandi dan dikafankan. Saat memberi penghormatan terakhir aku meyuruh anak keduaku si kakak Yaya mencium adiknya. Namun dia enggan dan taksiranku dia masih belum mengerti. Namun bila aku suruh dia usap wajah adiknya kakak tidak membantah. Abang bila kusuruh mencium adiknya dia tidak membantah. Entahlah aku fikir mungkin abang juga tidak mengerti. Tapi sangkaanku meleset sama sekali... saat Afiq disembahyangkan, kakaknya meraung kesedihan. Ya Allah kuatkan hati anak2ku Ya Allah. Tabahkanlah mereka.

Raung kakak juga tidak habis di situ. Tatkala tanah menimbusi adiknya sekali lagi ia menangis. Pilunya hatiku mengenangkan saat itu. Aku sengaja membawa mereka ke pusara ini supaya mereka tahu destinasi terakhir adik mereka. Memang perit tapi itulah hakikat yang mereka perlu belajar. Selamat tinggal sayang... mama tahu adik tenang di sana. Tolong mama nanti yea sayang andai kaki ini tergelincir ketika melintasi titian siratul mustakim. Malam ini dan malam2 berikutnya mama akan tidur tanpa adik di sisi. Dan malam ini susu mama tidak lagi menjadi makananmu anakku. Mama halalkan tiap titis susu yang pernah adik minum. Mama redha sayang. Semuanya.

Nanti akan kuceritakan pula hasil bedah siasat yang dikeluarkan.

No comments: